F.A.Q

Apakah kelebihan membuat wasiat dengan Adilah Salleh Consultancy berbanding tempat lain?

Adilah Salleh Consultancy adalah syarikat yang mempunyai Panel Syariah iaitu Adilah Salleh Associates bagi menguruskan hal-hal berkaitan syariah dan mempunyai pengalaman dan kepakaran selama lebih 20 tahun dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dalam hal penulisan, penyimpanan wasiat dan pelaksanaan wasiat.

Berapakah bayaran yang dikenakan untuk membuat wasiat di Adilah Salleh Consultancy sekiranya saya mempunyai lebih dari satu aset?

Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM350 sahaja (termasuk GST) termasuk penulisan dan penyimpanan wasiat tanpa mengambil kira jumlah aset di dalam wasiat.

Apa jenis harta yang boleh saya wasiatkan?

Semua jenis harta yang dimiliki oleh individu boleh diwasiatkan samada harta alih atau harta tidak alih. Harta alih adalah seperti akaun bank, saham, kenderaan, emas, insuran, saham perniagaan dan lain-lain. Manakala, Harta tidak alih seperti tanah, rumah dan bangunan.

Sekiranya wasiat dibuat oleh pihak lain selain Adilah Salleh Consultancy, hanya penyimpanan yang ingin dilakukan di Adilah Salleh Consultancy, berapakah kos penyimpanan yang dikenakan?

Bayaran yang dikenakan bagi penyimpanan wasiat di Adilah Salleh Consultancy adalah RM424 sekiranya melantik Adilah Salleh Consultancy sebagai Wasi / Pemegang Amanah atau RM636 sekiranya tidak melantik Adilah Salleh Consultancy sebagai Wasi / Pemegang Amanah. Kedua-dua pembayaran tersebut adalah untuk seumur hidup.

Adakah bayaran perlu dibuat untuk setiap pindaan wasiat?

Kadar minima sebanyak RM159.00 dikenakan bagi setiap pindaan. Namun kadar berkenaan adalah bergantung kepada kandungan Wasiat tersebut.

Saya telah membuat wasiat sebelum saya berkahwin tetapi setelah berkahwin saya tidak membuat pengemaskinian wasiat saya. Adakah wasiat tersebut masih sah?

Bagi wasiat muslim, wasiat yang terdahulu dikira sebagai wasiat yang sah kecuali terdapat wasiat baru yang telah dibuat oleh pewasiat. Manakala bagi wasiat bukan muslim, wasiat yang dibuat semasa belum berkahwin akan terbatal secara automatik apabila pewasiat berkahwin.

Bolehkah Adilah Salleh Consultancy menjadi pentadbir sekiranya wasiat ditulis oleh pihak luar seperti peguam atau syarikat peramanahan yang lain?

Adilah Salleh Consultancy boleh mentadbir wasiat tersebut dengan syarat  wasi asal yang dilantik di dalam wasiat perlu membuat akuan Penolakan Pentadbiran dan ditandatangani di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen / Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah.

Berapa lama diperlukan untuk menyediakan draf Wasiat Komprehensif?

Tempoh untuk menyediakan draf Wasiat Komprehensif ialah 14 hari dari tarikh permohonan lengkap.

Berapa lama diperlukan untuk menyediakan draf Wasiat Pindaan?

Tempoh untuk menyediakan draf Wasiat Pindaan ialah 14 hari dari tarikh permohonan lengkap.

Adakah Adilah Salleh Consultancy boleh membuat pentadbiran bagi aset kenderaan yang belum habis dibayar?

Pihak Adilah Salleh Consultancy tidak boleh membuat pentadbiran ke atas kenderaan yang masih lagi mempunyai pinjaman dengan Bank / agensi kewangan memandangkan hakmilik kenderaan tersebut masih menjadi milik Bank / agensi kewangan sehingga baki pinjaman selesai. Namun yang demikian, sekiranya terdapat aset lain yang mempunyai nilai untuk membayar baki hutang kenderaan tersebut, maka Adilah Salleh Consultancy boleh mentadbir aset kenderaan tersebut.

Saya mempunyai kepentingan dalam harta pusaka simati kerana simati berhutang dengan saya. Bolehkah saya menuntut hutang daripada harta pusaka simati?

Pemiutang boleh menuntut hutang daripada harta pusaka simati semasa proses pentadbiran harta pusaka simati dijalankan. Walau bagaimanapun, pemiutang perlu mengemukakan bukti yang kukuh bagi menuntut hutang simati tersebut.

Bagi pemilik harta yang telah meninggal dunia dan lantikan Penama telah dibuat ke atas harta tersebut di agensi seperti KWSP, Tabung Haji dan Syarikat Insuran, adakah bayaran tersebut akan dibayar terus kepada Penama atau Pentadbir harta yang dilantik?

Harta tersebut akan dibayar terus kepada Penama dengan menggunakan kaedah Faraid.

 

Siapakah Penama dan apakah tanggungjawab Penama bagi kes pusaka orang Islam?

Penama dalam pusaka orang Islam adalah WASI (Pemegang Amanah) dan tanggungjawab Penama tersebut adalah untuk membuat pembahagian berdasarkan faraid kepada waris – waris yang berhak selepas semua hutang – hutang simati diselesaikan.

Adakah dengan pelantikan Pentadbir Pusaka, sebagai contoh Adilah Salleh Consultancy boleh menghalang pembayaran dibuat kepada Penama yang dinamakan?

Tidak.

Jika Penama (simati beragama Islam) gagal menjalankan tanggungjawab sebagai WASI dan tidak mengagihkan wang yang diterima melalui KWSP, Tabung Haji atau Syarikat Insuran kepada waris yang sah, apakah tindakan yang boleh diambil oleh waris – waris tersebut?

Tindakan undang – undang boleh diambil untuk menuntut wang tersebut terhadap Penama atas kegagalannya menjalankan tanggungjawab sebagai WASI. Tindakan ini boleh diambil sama ada oleh waris-waris sendiri atau melalui Pentadbir Harta Pusaka yang telah dilantik.

Sekiranya penerima pencen meninggal dunia, adakah wang pencen yang masih dimasukkan ke dalam akaun simati dianggap sebagai pusaka?

Wang pencen yang diterima oleh penerima pencen adalah terhenti bermula daripada tarikh kematiannya. Oleh yang demikian, wang pencen yang diterima semasa hayatnya adalah sebahagian daripada harta pusaka dan wang pencen yang diterima selepas kematiannya adalah hak milik kerajaan Malaysia.

Bila waktu yang sesuai untuk permohonan pentadbiran harta pusaka simati dilakukan?

Tiada waktu khusus bagi membuat permohonan pentadbiran harta pusaka. Namun dinasihatkan agar permohonan dilakukan secepat mungkin bagi mengelak terjadinya kematian berlapis.

Siapa yang layak menjadi pemohon untuk kes-kes pentadbiran harta pusaka di Adilah Salleh Consultancy?

Waris atau bukan waris kepada simati mempunyai kapasiti untuk bertindak sebagai pemohon bagi kes-kes pentadbiran harta pusaka di Adilah Salleh Consultancy.

Perlukah semua waris hadir untuk permohonan?

Tiada keperluan untuk semua waris hadir semasa membuat permohonan. Hanya Pemohon yang perlu hadir ke Adilah Salleh Consultancy.

Mengapa sijil faraid diperlukan?

Sijil faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah adalah perlu bagi menentukan siapa yang layak mendapat pusaka simati serta bahagian yang berhak diterima. Pihak Adilah Salleh Associates merupakan Panel Syariah bagi mengendalikan hal-hal berkaitan Mahkamah Syariah.

Berapakah fi Pentadbiran Pusaka?

Waris-waris bersetuju untuk membuat pembahagian harta secara sama rata. Dalam keadaan ini, bolehkah sijil faraid dikecualikan?

Sijil faraid tidak boleh dikecualikan walaupun telah mendapat persetujuan waris-waris. Ini adalah kerana Sijil faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah diperlukan untuk menentukan siapa yang layak mendapat pusaka simati dan bahagian yang berhak diterima. Namun yang demikian, pembahagian secara sama rata tersebut boleh dilaksanakan pada peringkat pembahagian harta pusaka kelak.

Apakah tindakan Adilah Salleh Consultancy apabila terdapat waris yang tidak dapat dikesan di dalam senarai waris pusaka ketika harta pusaka tersebut sedang ditadbir oleh Adilah Salleh Consultancy? Ke manakah wang tersebut akan disalurkan?

Sekiranya waris tidak dapat dikesan semasa pentadbiran harta pusaka sedang berlangsung, bahagian waris tersebut akan dikekealkan sehingga waris yang berhak tersebut datang membuat tuntutan yang sah.

Bagaimana pihak Adilah Salleh Consultancy mengesan waris yang tidak dapat dikesan?

Pihak Amanah Raya Berhad akan membuat semakan menggunakan Agency Link-Up System (ALIS) Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan maklumat tentang waris yang tidak dapat dikesan.

Bolehkan saya menyemak harta yang ditinggalkan oleh simati di Adilah Salleh Consultancy?

Semakan hanya boleh dilakukan oleh waris sahaja kerana maklumat adalah sulit.

Berapakah jumlah minima untuk membuka akaun amanah?

Jumlah minima untuk pembukaan akaun Hibah Biasa adalah sebanyak RM2,000.

Bolehkah saya membuat hibah hartanah bagi rumah saya yang masih berhutang dengan bank?

Hibah hartanah hanya boleh dilaksanakan ke atas hartanah yang bebas hutang dan telah mempunyai geran.

Bolehkah penerima wang hibah enggan menutup akaun hibah dan diletakkan di Adilah Salleh Consultancy sehingga satu masa tertentu atau sehingga penerima memerlukannya kelak?

Akaun hibah tersebut perlu ditutup dan akaun yang baru boleh dibuka di mana penerima akan bertindak sebagai penderma kepada akaun hibah yang baru. Tempoh masa bagi penutupan akaun hibah berkenaan perlu di nyatakan di dalam Surat Ikatan Hibah. Akaun Hibah tersebut akan ditutup sebaik sahaja mencapai tempoh matang sepertimana yang terkandung di dalam Surat Ikatan Hibah.

Jika saya menyimpan wang untuk anak saya di dalam Akaun Hibah, bila saya meninggal dunia, adakah waris saya yang lain akan memperolehi wang tersebut?

Tidak. Wang yang tersimpan di dalam akaun Hibah tidak termasuk dalam harta pusaka yang perlu diagihkan menurut Hukum Syarak atau secara Faraid (bagi yang beragama Islam) atau mengikut Akta Pembahagian 1958 (bagi yang bukan beragama Islam).

Siapakah yang berhak untuk membuat permohonan pengeluaran wang Hibah bagi anak bawah umur?

Permohonan hanya boleh dibuat oleh penjaga yang dilantik samada oleh Mahkamah, Adilah Salleh Consultancy atau melalui persetujuan / pakatan keluarga. Permohonan daripada pihak lain tidak akan diterima.

HUBUNGI KAMI

 

 

 

 

No 1, 1st Floor, Susuran Senangin,

Pusat Perniagaan Shahab Utama,

Lebuhraya Sultanah Bahiyah,

05350 Alor Setar, Kedah

 04-7327003/7005           

 +60133488905

 assacio13@gmail.com

 

 

©2025 Adilah Salleh Associates. All Rights Reserved.

Search