Persoalan yang sering ditanya sekiranya seorang suami itu meninggal dunia, dan mempunyai lebih dari seorang isteri...
Berapakah bahagian pusaka bagi setiap orang isteri-isteri saya kalau saya meninggal nanti,
tanya kawan saya semasa kami sedang minum di cafe pagi tadi..
Apabila berlaku kematian Isteri mendapat ¼ bahagian sekiranya suami tiada anak, dan 1/8 bahagian sekiranya suami mempunyai anak.
Bagaimana pula kalau suami tersebut berpoligami, adakah bahagian setiap orang isteri adalah ¼ ? Cth : Jika seorang lelaki mati, dan meninggalkan 4 orang isteri dan seorang adik beradik lelaki. Berapakah bahagian mereka?
Dalam kes ini, sekiranya si mati mempunyai 4 orang isteri dan adik beradik lelaki, keempat empat isteri tersebut akan berkongsi 1/4 bahagian antara mereka. Baki 3/4 daripada harta tersebut akan diperolehi oleh adik beradik lelaki si mati tersebut.
Kenapa isteri-isteri perlu berkongsi 1/4 bahagian antara mereka?
Kenapa tidak beri setiap isteri 1/4 bahagian?
وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَكُمْ وَلَدٌ فَإِنْ كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُمْ
“ Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika
kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para
isteri memperoleh seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan “
-surah an-nisa ayat 12.
Dalam surah an-Nisa di atas, Allah menggunakan lafaz وَلَهُنَّ yang bermaksud para isteri. Kesimpulannya, bahagian isteri sama ada seorang ataupun simati mempunyai lebih dari seorang isteri adalah sama, iaitu ¼ jika suami tidak mempunyai anak, dan 1/8 jika suami mempunyai anak.
Sekiranya setiap isteri mendapat 1/4 bahagian setiap orang, maka harta-harta tersebut akan dihabiskan oleh isteri-isteri tersebut dan menutup bahagian asabah adik-beradik lelaki tadi. Tetapi ini tidak berlaku dalam faraid. Antara sebabnya hubungan kerabat (Rahim) adalah lebih kuat daripada perkahwinan.
Walaupun adik beradik lelaki mendapat ¾ bahagian, harta tersebut bukanlah untuk kegunaannya semata-mata. HARTA DATANG DENGAN TANGGUNGJAWAB. Dia perlu bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan isteri-isteri tersebut. Segala bentuk keperluan dan kebajikan keempat-empat isteri si mati adalah tanggungjawab adik beradik lelaki tadi. Secara tidak langsung, dia telah diamanahkan untuk menjaga kebajikan keempat-empat orang isteri simati dengan pemberian harta pusaka tersebut. Cuma persoalannya amanah dan bertanggungjawabkah dia? Jangan sampai berebut harta pusaka, tetapi tanggungjawab dan amanah yang wajib dipikul kita lupa hingga waris menderita.
Dalam perundangan, isteri-isteri boleh menuntut harta sepencarian sebelum harta-harta difaraidkan. Oleh itu, rancanglah pengurusan harta pusaka anda dengan sebaiknya. Jangan kerana harta, waris bersengketa..